Monday, October 30, 2006

Cahaya Membunuh Ego dan Ketamakan Manusia


Akhir minggu ini dan awal minggu hadapan kita di Malaysia akan meraikan dua perayaan besar, iaitu Diwali atau lebih dikenali di sini sebagai Deepavali dan sambutan Aidilfitri. Dua perayaan ini akan dirayakan berdekatan antara satu sama lain oleh penganut Hindu, untuk Diwali dan Muslim untuk sambutan Aidilfitri yang dijangkakan jatuh pada 24 Oktober (Aidilfitri) dan pada 21 Oktober (Diwali).

Dalam perdebatan yang tidak kunjung selesai mengenai halal atau haram sambutan bersama atas dua perayaan besar tersebut, saya tertarik dengan cerita-cerita yang melatari dua perayaan tersebut yang dikira memberikan pengajaran dan semangat yang berprinsip kepada kebaikan, kedamaian,dan keadilan..

Antara riwayat yang popular bagi perayaan Diwali , adalah kisah kemenangan yang dikecapi oleh Dewa Rama yang mengalahkan Dewa kejahatan bernama Ravan juga terkenal dengan gelaran “Dasamukha”.(bermuka sepuluh) atau "Dasagriva"(berkepala sepuluh) kerana mempunyai 10 kepala.

Ravan dikurniakan kebijaksanaan dan kekuatan tetapi tamak sehingga Ravan mengusai 3 dunia yang berlainan iaitu dunia manusia, cakerawala, dan syaitan. Dengan kurniaan kepala sepuluh, Ravan berkeupayaan dengan 10 kekuatan dan kebijaksanaan dari semua kejadian.

Penguasaan tersebut menjadikan Ravan begitu berkuasa sehingga dikisahkan mampu mengarahkan matahari dan bulan beredar. Ravan menjadi sombong dan bongkak serta tidak boleh ditegur. Kisah Ravan dalam Ramayana memberikan petunjuk bahawa ketaatan tanpa kebijaksanaan adalah sia-sia. Ravan adalah lambang kepada bahaya bagi sifat ego dan serakah.

Rama atau Ramachandran yang juga seorang raja bagi bumi telah dibuang selama 14 tahun ke hutan kerana berkorban untuk kehormatan bapanya, kemudian isterinya Sita telah diculik oleh Ravan Demi menyelamatkan isterinya dia telah bertarung dengan Ravan yang kukuh dan gagah dengan tenteranya dari pelbagai dunia. Pertempuran itu digambarkan sengit dan hebat dengan pelbagai senjata dan magis.

Akhirnya Rama dengan bantuan adik beradiknya berjaya menewaskan dan memengal memenggal kepala Ravan lalu membebaskan Sita. Rama diangkat sebagai raya Ayodhya (ibu negeri bagi kerajaan). Ram adalah lambang kepada sifat belas yang tegar, keberanian dan ketaatan kepada agama dan tangunggjawab.

Sambutan Diwali sering dikaitkan pemasangan lampu 'Perayaan Cahaya' di mana penganut Hindu memasang pelita tanah liat yang dipanggil "diyas" atau bentuk lampu antara lain merayakan kejayaan Rama menutup dan menghapuskan ketamakan dan sifat ego atas kelebihan yang dikurniakan, hari tersebut dipanggil Dussehra.

Kilauan cahaya yang terpancar daripada api pelita ini bukan sahaja mencerminkan kehangatan malah menandakan kejayaan yang diraih disamping memperoleh kekayaan, kemasyhuran, ilmu pengetahuan atau keamanan.

Saya juga difahamkan perayaan Aidilfitri juga mempunyai semangat yang hampir sama, iaitu untuk manusia kembali kepada keadaan fitrah yang tidak tercoreng dengan noda dan dosa kepada tuhan dan manusia melalui didikan di bulan puasa. Kita diajarkan juga kisah Nabi Muhamad, selepas perang Badar yang hebat dan besar, Muhamad S.A.W menegaskan pada umatnya ada perang lebih besar iaitu perang melawan nafsu yang serakah dan ego.

Saya mengharap dua perayaan ini tidak lekang dari semangatnya iaitu pemulihan jiwa dan penegakkan kebenaran dan keadilan.

Akhir kata suka saya berkongsi kalimat Tagore yang Indah ditujukan kepada Diwali

“Malam adalah kegelapan,

Nyalakanlah dengan lampu cinta

Dengan kehidupanmu dan ketaatan”

Dato` Nalla K.S

19 Oktober 2006