Monday, October 30, 2006

Cahaya Membunuh Ego dan Ketamakan Manusia


Akhir minggu ini dan awal minggu hadapan kita di Malaysia akan meraikan dua perayaan besar, iaitu Diwali atau lebih dikenali di sini sebagai Deepavali dan sambutan Aidilfitri. Dua perayaan ini akan dirayakan berdekatan antara satu sama lain oleh penganut Hindu, untuk Diwali dan Muslim untuk sambutan Aidilfitri yang dijangkakan jatuh pada 24 Oktober (Aidilfitri) dan pada 21 Oktober (Diwali).

Dalam perdebatan yang tidak kunjung selesai mengenai halal atau haram sambutan bersama atas dua perayaan besar tersebut, saya tertarik dengan cerita-cerita yang melatari dua perayaan tersebut yang dikira memberikan pengajaran dan semangat yang berprinsip kepada kebaikan, kedamaian,dan keadilan..

Antara riwayat yang popular bagi perayaan Diwali , adalah kisah kemenangan yang dikecapi oleh Dewa Rama yang mengalahkan Dewa kejahatan bernama Ravan juga terkenal dengan gelaran “Dasamukha”.(bermuka sepuluh) atau "Dasagriva"(berkepala sepuluh) kerana mempunyai 10 kepala.

Ravan dikurniakan kebijaksanaan dan kekuatan tetapi tamak sehingga Ravan mengusai 3 dunia yang berlainan iaitu dunia manusia, cakerawala, dan syaitan. Dengan kurniaan kepala sepuluh, Ravan berkeupayaan dengan 10 kekuatan dan kebijaksanaan dari semua kejadian.

Penguasaan tersebut menjadikan Ravan begitu berkuasa sehingga dikisahkan mampu mengarahkan matahari dan bulan beredar. Ravan menjadi sombong dan bongkak serta tidak boleh ditegur. Kisah Ravan dalam Ramayana memberikan petunjuk bahawa ketaatan tanpa kebijaksanaan adalah sia-sia. Ravan adalah lambang kepada bahaya bagi sifat ego dan serakah.

Rama atau Ramachandran yang juga seorang raja bagi bumi telah dibuang selama 14 tahun ke hutan kerana berkorban untuk kehormatan bapanya, kemudian isterinya Sita telah diculik oleh Ravan Demi menyelamatkan isterinya dia telah bertarung dengan Ravan yang kukuh dan gagah dengan tenteranya dari pelbagai dunia. Pertempuran itu digambarkan sengit dan hebat dengan pelbagai senjata dan magis.

Akhirnya Rama dengan bantuan adik beradiknya berjaya menewaskan dan memengal memenggal kepala Ravan lalu membebaskan Sita. Rama diangkat sebagai raya Ayodhya (ibu negeri bagi kerajaan). Ram adalah lambang kepada sifat belas yang tegar, keberanian dan ketaatan kepada agama dan tangunggjawab.

Sambutan Diwali sering dikaitkan pemasangan lampu 'Perayaan Cahaya' di mana penganut Hindu memasang pelita tanah liat yang dipanggil "diyas" atau bentuk lampu antara lain merayakan kejayaan Rama menutup dan menghapuskan ketamakan dan sifat ego atas kelebihan yang dikurniakan, hari tersebut dipanggil Dussehra.

Kilauan cahaya yang terpancar daripada api pelita ini bukan sahaja mencerminkan kehangatan malah menandakan kejayaan yang diraih disamping memperoleh kekayaan, kemasyhuran, ilmu pengetahuan atau keamanan.

Saya juga difahamkan perayaan Aidilfitri juga mempunyai semangat yang hampir sama, iaitu untuk manusia kembali kepada keadaan fitrah yang tidak tercoreng dengan noda dan dosa kepada tuhan dan manusia melalui didikan di bulan puasa. Kita diajarkan juga kisah Nabi Muhamad, selepas perang Badar yang hebat dan besar, Muhamad S.A.W menegaskan pada umatnya ada perang lebih besar iaitu perang melawan nafsu yang serakah dan ego.

Saya mengharap dua perayaan ini tidak lekang dari semangatnya iaitu pemulihan jiwa dan penegakkan kebenaran dan keadilan.

Akhir kata suka saya berkongsi kalimat Tagore yang Indah ditujukan kepada Diwali

“Malam adalah kegelapan,

Nyalakanlah dengan lampu cinta

Dengan kehidupanmu dan ketaatan”

Dato` Nalla K.S

19 Oktober 2006

Wednesday, October 04, 2006

Ucapan Sempana Penyertaan Ke Parti KeADILan Rakyat

Penyertaan saya ke dalam Parti KeDILan Rakyat bersama-sama isteri saya iaitu Datin Jijayakumari juga semua golongan profesional terutamanya para peguam, doktor, jurutera, akauntan adalah dengan satu matlamat. Saya akan cuba membantu melakukan yang terbaik daripada segala aspek. Secara jujur, saya katakan bahawa saya menyertai Parti Keadilan Rakyat adalah kerana Dato' Seri Anwar Ibrahim. Hasrat saya adalah untuk membantu kepulangan beliau ke dalam arena politik tanah air. Beliau merupakan sahabat saya yang paling baik. Dahulu, beliau merupakan rakan bermain tenis, tapi kini beliau adalah rakan politik saya. Malah kerana persahatan inilah yang menjadikan keluarga kami rapat. Dengan penyertaan saya ke dalam Parti Keadilan Rakyat, saya berjanji akan berjuang bersama-sama Dato' Seri dan rakan-rakan seperjuangan semua. Bagi saya, dengan perjuangan ini menjadi bukti persahabatan kami yang tulus dan suci ini. Terus terang saya katakan saya amat menyayangi persahabatan ini.

Sebenarnya, telah berhari-hari, malah bertahun-tahun lamanya saya berfikir untuk bersama-sama beliau berjuang di dalam Parti KeADILan Keadilan Rakyat. Saya berasa amat bangga dan berterima kasih serta bersyukur kerana beliau Dato' Seri Anwar Ibrahim telah memberi saya peluang untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat ini dan berjuang bersama-samanya.

Saya memulakan karier saya di dalam bidang insuran, kemudian saya telah menyertai PEKEMAS. Maka di sinilah bermulanya era politik saya. Selepas itu, saya menyertai Parti GERAKAN dan kemudian saya menyertai Malaysian Indian Congress Party atau singkatannya MIC. Selepas pertemuan saya dengan Dato' Seri Samy Vellu di satu majlis MIC, beliau menjadi kawan rapat saya. Saya telah dilantik menjadi Pengerusi Cawangan Bukit Bandaraya pada tahun 1983. Kemudian pada tahun 1985, saya telah diberi mandat untuk menjawat jawatan Timbalan Ketua Pemuda Nasional MIC. Selepas itu, pelbagai rintangan dan halangan telah saya tempuhi. Jatuh, bangun dalam hidup dan dunia politik. Pada tahun 1989, saya menghadapi krisis peribadi dengan Dato' Seri Samy Vellu yang mana telah menyebabkan pemecatan saya daripada parti MIC. Kemudian, saya menumpukan perhatian dalam bidang perniagaan selama 17 tahun. Namun, dalam masa yang sama saya masih mengekalkan persahabatan saya dengan beliau. Kini, saya kembali ke arena politik di bawah wadah yang baru di atas nama Parti KeADILan Rakyat bersama-sama Dato' Seri Anwar Ibrahim meneruskan perjuangan politik demi rakyat dan negara.

Negara patut memberi penghormatan kepada sesiapa yang telah berusaha dan berjuang demi negara. Mereka patut menerima penghormatan! Orang yang telah berjasa memperkenalkan saya kepada dunia politik, seorang yang masyarakat India amat hormati dan mengenalinya sebagai seorang pejuang rakyat. Beliau adalah mendiang Dr. V. David. Saya mencadangkan pada masa akan datang, pihak kerajaan menamakan satu jalan di Petaling Jaya bersempena dengan nama beliau. Ini adalah satu penghormatan kepada perjuangan mendiang Dr. V. David.

Sekarang, saya berdiri di hadapan anda semua bersama-sama dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim iaitu Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dan sekarang beliau merupakan Penasihat Parti KeADILan Rakyat di atas pentas ini, telah memutuskan untuk menyertai Parti KeADILan Rakyat. Keputusan saya ini bukanlah dipengaruhi oleh sebab wang ringgit, atau pangkat, dan bukan juga kepentingan diri sendiri. Kesemua ini pernah saya nikmati.

Motif penyertaan saya ke dalam Parti KeADILan Rakyat adalah untuk bersama-sama berjuang untuk rakyat, membasmi kemiskinan dan menegakkan keadilan. Bukan itu sahaja, malah motif utamanya adalah berjuang bersama-sama sahabat saya Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Pada pendapat, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin yang ulung dan berkarisma dan amat terkenal kepimpinannya bukan sahaja di negara ini malah di dunia. Penyertaan saya ke dalam parti ini adalah dengan niat suci dan tulus ikhlas tanpa didorong dan dipengaruhi oleh sesiapa.

Kerana keakraban persahabatan inilah saya telah mengharungi rintangan hidup yang paling perit, diheret ke penjara, berhadapan dengan hukuman tali gantung. Saya mempertaruhkan nyawa saya kerana persahabatan ini. Ini adalah pengorbanan saya, dan ianya perlu menjadi contoh kepada semua. Saya telah menghadapi segala persengkataan, segala kegembiraan, juga kenangan manis dalam kehidupan saya. Saya juga telah menghadapi segala rintangan sehingga ke puncak keperitan. Pada hari ini, dan selamanya saya amat berterima kasih kepada isteri saya yang tercinta, Datin Vijayakumari yang amat tabah dan sabar menghadapi ranjau hidup bersama. Pernah satu ketika, sebuah akhbar tamil telah menulis tentang berita kematian saya di Penjara Sg. Buluh. Ada seseorang yang tidak dikenali telah menghantar akhbar tersebut pada pukul 4.00 pagi. Malah saya kira, beliau telah menghadapi tekanan dan rintangan melebihi apa yang saya alami. Saya amat-amat berterima kasih kepada beliau. Kerana doa isteri saya, saya mampu berdiri di hadapan anda semua.

Saya dengan ini, pada hari ini bersama-sama isteri, Datin Vijayakumari bersama rakan-rakan daripada kalangan profesional seperti para peguam, doktor, jurutera, dan akauntan daripada kaum India menyertai Parti KeADILan Rakyat. Selepas hari ini, saya tidak akan berdiam diri. Saya akan terus memulakan "road show" ke seluruh negara untuk mencari ahli-ahli baru Parti KeADILan Rakyat. Sekian.

DATO' K.S NALLA
20 Ogos 2006